Memaparkan catatan dengan label (J) e-Muslim. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label (J) e-Muslim. Papar semua catatan

GANTI PUASA WARIS YANG MATI



Soalan :

Apakah hukum menggantikan puasa bagi waris yang telah meninggal dunia?

Jawapan

Firman Allah SWT: Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183).

Jelas dalam ayat ini, Allah SWT mewajibkan puasa ke atas orang beriman, yang pastinya mereka yang beriman akan langsung menyahut seruan Allah yang berisi perintah melakukan puasa sepanjang Ramadan.

Dalam ayat-ayat yang berikutnya Allah memberikan rukhsah (kelonggaran) bagi mereka yang yang bermusafir atau yang uzur boleh meninggalkan puasa pada bulan Ramadan dan digantikan puasa yang tertinggal pada bulan-bulan yang mendatang.

Apa yang pasti, berpuasa Ramadan akan menjadikan kita ummah yang bertakwa kepada Allah SWT. Takwa sahaja yang dapat melahirkan masyarakat yang berwibawa yang ada nilai-nilai positif dan etika yang beranjakkan paradigma.

Umat yang hidupnya ada motif yang jelas, iaitu apa sahaja yang dilakukan pasti ada kesannya sama ada di dunia mahupun di akhirat. Allah SWT telah berjanji bahawa dengan menghayati ibadah puasa dengan penuh keinsafan dan kesabaran pasti mengundang kepada kekuatan dalam (spiritual) dan kekuatan luaran (fizikal).

Oleh yang demikian pastikan puasa tidak ditinggalkan, kerana biarpun ada kelonggaran diberi oleh syarak tetapi pastinya berpuasa itu lebih baik daripada berbuka.

Kalau umat ini menyedari dan mengetahui akan kelebihan dan kehebatan zahir dan batin Ramadan pasti akan mengharapkan supaya sepanjang tahun menjadi Ramadan.

Tetapi apa yang berlaku di sebaliknya, "cepatnya Ramadan", "bila nak habis Ramadan" dan pelbagai keluhan yang lain.

Justeru, janganlah mencari alasan untuk tidak berpuasa, kerana belum tentu tahun depan kita berpeluang menikmati keindahan Ramadan dan merebut rahmat dan maghfirah-Nya.

Adapun puasa ganti bagi orang yang telah meninggal dunia oleh waris menjadi perselisihan di kalangan ulama fiqh.

l Pendapat al-Syafieyyah dalam pendapat yang kuat. Sekiranya ada yang meninggal dunia maka terpulang kepada diri wali sama ada mahu dibayar puasanya dengan berpuasa untuknya ataupun membayar fidyah.

Hal ini termasuklah puasa nazar. Pendapat ini disokong oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah.

l Ibn Hazim al-Zakiri berpendapat, tidak dibayar fidyah untuk puasa daripada orang yang meninggal dunia, akan tetapi ambil sebahagian hartanya untuk mengupah orang untuk berpuasa bagi hari-hari yang dia tidak berpuasa.

Pandangan ini juga merupakan pandangan Ali Thal, Said bin al- Musayyub dan al-Awzarie, Thaus, Hammad bin Sulaiman, al-Zuhli dan al- Hasan al-Bakri dan Qatadah.

l Pendapat al-Hanabilah pula, sekiranya puasa yang ditinggalkan puasa nazar maka harus bagi ahli keluarga (waris) mengqadakan (menggantikan ) puasa yang tertinggal disebabkan oleh uzur syarie. Sekiranya puasa yang ditinggalkan itu puasa wajib maka tidak diharuskan mengqadanya oleh ahli warisnya.

l Mazhab al-Malikiyah dan al-Hanafiah tidak dipuasakan bagi yang telah meninggal akan tetapi dibayar fidyah bagi hari-hari yang ditinggalkan dengan syarat diwasiatkan terlebih dahulu.

Sekiranya tidak diwasiatkan 'wali' boleh melakukan tebusan dengan memberi makan sebagai ganti fidyah.

Memandangkan puasa yang ditinggalkan oleh seseorang yang meninggal tidak boleh digantikan dengan berpuasa bagi pihaknya, maka lebih awla tidak dipuasakan oleh orang lain ketika masih hidup.

Pendapat mazhab al-Syafieyyah yang disokong oleh Imam al-Nawawi merupakan pendapat dan pandangan yang menghimpunkan dua keadaan, iaitu, sama ada digantikan puasa ahli keluarga yang meninggal dunia atau membayar fidyah.

Maksudnya, ahli waris masih berpeluang untuk melakukan kebajikan kepada arwah dari kalangan ahli keluarga. Kalau tidak mampu menggantikan puasa ahli keluarga yang telah meninggal bolehlah dibayar fidyah sahaja.

Mungkin pada masa sekarang membayar fidyah tidak menjadi masalah. Apa pun, puasa yang ditinggalkan oleh ahli keluarga masih ada peluang untuk ditunaikan berdasarkan pandangan mazhab al-Syafieyyah.

Dipetik Dari http://www.utusan.com.my




Niat Dan Doa-Doa Ramadhan

Niat Puasa :



Amalan Pada Bulan Ramadhan

Sunnat membaca doa-doa berikut :


Ertinya : "Ya Allah, Ya Tuhanku kurniakan kepadaku rahmat kerana Engkau sahaja yang dapat memberi rahmat"


Ertinya : Ya Allah, Ya Tuhanku ampunilah dosaku. Ya Tuhan pentadbir semesta alam"


Ertinya : "Ya Allah Ya Tuhan bebaskan aku dari siksa api neraka dan masukkan aku ke dalam syurga Engkau Ya Tuhan pentadbir semesta alam dengan rahmat Engkau, kerana Engkau sahaja yang dapat memberi rahmat."

Sunat diperbanyakkan membaca sebelum berbuka puasa, dengan harapan memohon keampunan dari Allah berkat bulan yang mulia

QIAMULLAIL AMBANG RAMADAN
Oleh Hayat Sueet

RAMADAN akan menjelang hanya beberapa hari lagi. Ia akan dipenuhi dengan segala macam keberkatan yang harus direbut oleh semua umat Islam.

Malah bahang Ramadan sudah terasa sejak bulan Syaaban lagi. Ini kerana dalam bulan ini jugalah tidak kira individu, komuniti, persatuan akan mengadakan pelbagai majlis kenduri demi menyambut ketibaan Ramadan yang mulia serta sebagai memenuhi hajat mereka.

Di Surau Bangi Perdana, Bandar Baru Bangi, baru-baru ini diadakan majlis qiamullail dan ceramah perdana. Majlis yang anjuran Jawatankuasa surau tersebut, sekurang-kurangnya telah membawa semangat ukhuwah dan persaudaraan khasnya kepada penduduk Islam di situ.

Majlis dimulakan tepat pukul 4 pagi dan berakhir 5.45 pagi itu diketuai oleh tuan guru yang dijemput khas dari Kedah iaitu Ustaz Osman Ibrahim. Beliau memang terkenal sebagai pengasas melodi munajat sekitar tahun 90-an. Alunan zikirnya mampu menyentuh nurani para jemaah, malah setiap perkataan yang diucapkan menjadi pembersihan jiwa dan penyucian hati kepada para peserta.

Acara dimulai dengan solat sunat tahajud, diikuti solat sunat tasbih, solat sunat taubat, solat sunat hajat dan ditutupi dengan solat sunat witir.

Omar semasa dalam munajat telah menyentuh siapa diri kita, sejauhmana amalan kita dan bagaimana ketika kita di alam kubur dan seterusnya di padang mahsyar, agar benar-benar menjadi orang yang beriman dan patuh perintah Allah SWT.

Hampir keseluruhan jemaah tidak dapat menahan kesedihan telah menitiskan air mata, merasakan keinsafan serta mengenal diri.

Pada kuliah Subuh, Osman turut menasihati jemaah supaya menguatkan ibadah, sentiasa mengingati kematian dan berpesan supaya seseorang itu tidak seperti besi buruk, berkarat dan tidak berguna lagi.

Turut diselitkan dalam kuliahnya pesanan supaya setiap daripada kita mencari jalan yang diredai Allah dan berusaha menghadapi kematian dalam bentuk syahid di jalan Allah.

Majlis tersebut juga diisi dengan ceramah oleh Pengarah Istitut Kajian Hadis, Universiti Islam Antarabangsa Selangor, (KUIS), Mohd. Farid Ravi Abdullah.

Beliau menekankan dua perkara iaitu al-Quran dan hadis sebagai panduan hidup untuk kejayaan di dunia dan di akhirat.

Katanya, dengan mengamalkan al-Quran dan sunah Rasulullah, ia akan jadi pendinding. Daripada situ juga kita akan dapat mencari kebenaran dan bentuk-bentuk cara menghayati Islam.

"Islam bukan hanya sekadar solat lima waktu, puasa dan cukup duit pergi haji. Itu bukanlah sebagai menjadi noktah sebagai kesempurnaan dalam Islam. Apabila kita mentelaah sejarah nabi, keagungan Islam dapat mengubah landskap dari jahiliah ke tamadun moden dan al-Quran sebagai pemangkin.

"Daripada penghayatan dan mengamalkannya kita akan dapat menyatukan masyarakat yang berpecah belah, tamadun sebuah negara yang komplek dapat dibawa kepada masyarakat yang lebih bertamadun," kata Farid Ravi.

Umat Islam dinasihati menghayati isi kandungan al-Quran dengan tafsiran dan bukan hanya sekadar dibaca sahaja. Penghayatan ini juga membezakan soal halal dan haram, semangat jihad, utamakan perniagaan Islam dan untuk terus maju serta mengeluarkan produk-produk yang halal untuk umat Islam sejagat.

Dipetik Dari www.utusan.com.my

DIDIK ANAK CARA BERTUDUNG DENGAN BETUL
2010/05/03
BAGI orang Islam, kewajipan bertudung jelas dinyatakan dalam al-Quran. Ini jelas menggambarkan Islam amat mementingkan umatnya menjaga kehormatan demi kesucian diri. Tetapi trend bertudung yang berlaku sekarang adalah fesyen semata-mata. Masyarakat kita amat mementingkan sopan dan santun jelas tidak tergambar pada remaja kita. Remaja kita bertudung hanya mahu cantik tetapi baju dan seluar ketat serta sendat.Siapa yang harus dipersalahkan? Remaja perlukan model yang baik iaitu ibu bapa. Jika anak mereka mahu berjumpa dengan kawan dan sebagainya perlu disuruh mereka bertudung. Ini supaya mereka tahu menutup aurat itu wajib.
Sering kali kita terjumpa remaja perempuan yang bertudung tetapi mereka bertudung mengikut majlis. Kefahaman agama yang mendalam perlu diterapkan pada peringkat sekolah lagi dengan model yang baik di rumah. Jangan kerana diwajibkan bertudung di sekolah, maka apabila remaja keluar dari rumah tidak bertudung. Saya ingin mengambil perhatian bahawa di negara Barat sejak kebelakangan ini mengharamkan remaja ke sekolah dengan bertudung. Kononnya mereka memperjuangkan hak asasi manusia. Negara barat tidak faham antara hak dan kewajipan agama. Maka dialog antara agama perlu diadakan antara kerajaan dan pihak berkaitan agama. Di negara kita trend bertudung perlu diseimbangkan dengan fesyen. Kewajipan agama penting dari nilai sosial. Pentingnya bertudung dapat mengelakkan aurat seseorang itu terdedah sehingga boleh dilihat orang. Saya ingin mengesyorkan supaya pihak swasta menggalakkan kakitangannya agar bertudung bagi mengelak gangguan seksual daripada berlaku. Faktor bidang kerja dan kerja yang dilakukan tidak menjadi halangan jika sudah ada kefahaman dalam diri. Semoga kita dapat bersama-sama membantu mengingatkan antara satu sama lain.
NORHAIDI MOHD NORDIN,
Laman Tasik Pandan
Dipetik Dari Berita Harian Online
SOAL JAWAB AGAMA
Soalan 1:
Apakah hukum mewarnakan rambut mengunakan pewarna yang dinyatakan halal, walau pun bermacam-macam warna?
Jawapan:
Hukum mewarnakan rambut (sabgh al-sha'r) adalah harus kecuali mewarnakan rambut dengan warna hitam berdasarkan satu hadis riwayat Muslim, no. 2102: Ubahlah warna uban ini akan tetapi elakkanlah daripada warna hitam (menghitamkannya).
Warna hitam hanya diharuskan bagi mereka yang menghadapi penyakit beruban walaupun masih terlalu muda dan untuk muslihat perang. Namun mewarnakan rambut adalah makruh bagi golongan muda yang tidak bermasalah.
Pengecualian dikhaskan kepada para isteri yang berbuat demikian atas permintaan suami atau diizinkan oleh suami.
Hukum ini bertukar menjadi haram jika tiada tujuan tertentu seperti untuk suka-suka atau dengan niat yang bersalahan dengan panduan syarak seperti wanita yang berbuat begitu untuk menunjuk-nunjuk atau berhias-hias (tabarruj) mempamerkan rambut kepada bukan mahram dengan mengabaikan syariat menutup aurat dalam Islam.
Begitu juga jika bahan yang digunakan merosakkan rambut anugerah Allah kerana ia adalah amanah Allah yang 'dipinjamkan' kepada kita.
Apa yang penting bagi orang yang ingin mewarnakan rambut ialah bahan pewarna itu halal dan telap air seperti inai (ini jelas harus dan disebut di dalam hadis) kerana jika tidak telap air, wuduk anda dianggap tidak sah.
Mengikut Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), dari segi ramuan pewarna rambut yang berada di pasaran kita terbahagi kepada dua jenis. Kedua-duanya adalah halal dari segi bahan kandungan tetapi satu telap air dan satu lagi tidak, maka perlulah dipastikan terlebih dahulu.
Pewarna rambut yang dipasarkan biasanya akan tertulis pada kotak permanent dye atau semi permanent dye.
Mengikut kajian, jenis yang semi-pamenent dye adalah jenis yang tidak menyerap air dan ia tidak boleh dipakai oleh orang Islam. Begitu juga sebaliknya.
Hakikatnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak pernah mengeluarkan sijil halal untuk produk pewarna rambut kerana ia dikilangkan di luar negara. Secara teknikalnya, Jakim hanya mengeluarkan sijil halal untuk produk yang diproseskan di Malaysia sahaja.
Tiada keharusan ditemui untuk mewarnakan rambut pelbagai warna pada satu kepala (tamyish al-sha'r). Ada ulama menghukumkan haram kerana menyerupai budaya orang kafir.
SOALAN 2:
Adakah ibadah akikah hanya dilakukan semasa kecil atau boleh dilakukan selagi hidup?
JAWAPAN:
Ibadah akikah ini hukumnya sunat muakkad (yang dituntut) bukan wajib seperti yang dipercayai oleh sesetengah orang. Ibu bapa diberi kemudahan untuk melaksanakannya pada bila-bila masa dalam tempoh selepas tujuh hari lahir sehingga baligh.
Jika anak-anak sudah baligh tetapi mereka masih juga tidak mampu tidak mengapa tidak melakukannya kerana tuntutan ke atas wali telah gugur dan sunat bagi diri anak-anak itu sendiri melaksanakan akikah untuk dirinya sendiri seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW kepada diri baginda sendiri setelah diangkat menjadi Rasul (riwayat Ahmad, Abu Dawud dan al-Tabrani).
SOALAN 3:
Jika kini kami adik-beradik (tiga orang perempuan) ingin melakukan ibadah akikah, bagaimanakah caranya?
JAWAPAN:
Ia ibadah yang mudah. Oleh kerana kalian bertiga perempuan, setiap seorang perlu menyediakan seekor kambing biri-biri (shah) untuk diakikahkan kerana ia adalah yang paling afdal.
Ia bertepatan dengan pedoman hadis daripada Saidatina Aisyah yang diriwayatkan oleh al-Hakim dalam Mustadraknya, 4/266, no. 7595. Jadi tiga ekor kambing biri-biri diperlukan.
Apa yang lebih penting menentukan niat sembelihan untuk akikah dan untuk siapa: si fulanah binti si fulan.
Ia perlulah disembelih oleh seorang lelaki Islam dengan alat sembelihan yang tajam. Tulang-tulangnya dipotong mengikut sendi dan tidak dihancurkan.
Adalah lebih afdal daging tersebut dimasak masakan yang berasa manis. Kemudian diberi makan kepada orang ramai terutamanya fakir miskin.
Terkini, ibadah ini ada diuruskan oleh syarikat-syarikat tertentu dan boleh diupah secara online seperti di http://www.korbanaqiqah.com.my.
Wallahu A'lam.
Dipetik Dari Utusan Malaysia Online
10 KEBAIKAN DIBERIKAN KEPADA INSAN TAK LEKANG AMALAN ZIKIR
Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar
2010/03/22
DALAM kehidupan, kita sering menghadapi pelbagai masalah dan keadaan yang ada kalanya membawa kepada kekusutan fikiran. Akibat terlalu tertekan dengan masalah keduniaan boleh menjerumuskan seseorang ke lembah landasan yang bertentangan dengan kehendak agama.
Sebenarnya sebagai seorang hamba Allah kita ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dengan pelbagai kaedah dalam menjernihkan hati dan mententeramkan jiwa. Antaranya ialah dengan berzikir. Apakah yang dimaksudkan dengan berzikir?
Zikir menurut pengertian bahasa bermakna ‘ingat’. Jadi, berzikir itu ialah kita mengingati Allah dengan menyebut nama-Nya melalui pendekatan tasbih, tahlil, tahmid atau bacaan lain. Maksud zikir secara khusus ialah ucapan yang dilakukan melalui perantaraan lidah, mengingati Allah dengan hati atau melaksanakan sesuatu perbuatan dengan niat kerana Allah. Dengan berzikir akan mendorong dan menyedarkan kita untuk melakukan segala perintah Tuhan dan menghindari larangan-Nya. Ini secara tidak langsung akan mempertingkatkan mutu iman dan menambahkan rasa ketakwaan.
Allah sangat menyukai orang yang lidahnya sentiasa basah dengan zikrullah. Ingatlah bahawa Allah sudah menjanjikan ganjaran pahala yang banyak kepada orang yang berzikir. Hal itu jelas apabila Allah berfirman yang bermaksud: “Golongan lelaki dan wanita yang banyak berzikir kepada Allah, Allah janjikan bagi mereka keampunan serta ganjaran yang besar.” – Surah Al-Ahzab ayat 35
Jadi rebutlah peluang yang dijanjikan Allah itu agar kita sentiasa mendapat hidayah dalam kehidupan dan hati berada dalam keadaan damai tenteram. Allah menyatakan melalui firman dalam Surah Ar- Ra’d ayat 28 yang bermaksud: “Ketahuilah, dengan berzikir kepada Allah hati akan tenang.” Oleh itu, kita boleh menjadikan zikir sebagai wadah untuk menenangkan hati kita. Segala keserabutan fikiran dan kekeruhan hati kita damaikannya dengan berzikir. Insya-Allah hati kita akan kembali menjadi setenang air di tasik.
Pesan Imam Al-Bukhari: ‘Zikir adalah tugas harian setiap Muslim kerana ia mendatangkan kekuatan dan ketenangan. Berzikirlah setiap masa agar Allah sentiasa ingatkan kita setiap masa.’ Demikian indahnya wasiat beliau kepada kita semua. Biasakanlah hati dan lidah kita berzikir kepada Allah kerana inilah yang dituntut Allah kepada kita. Allah ada berfirman dalam Surah An-Nisa’ ayat 103 yang bermaksud: ‘Kemudian apabila kamu selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah ketika kamu berdiri atau duduk, dan ketika kamu berbaring.’
Insya-Allah melalui zikir kita dapat menyembuhkan penyakit hati daripada karat debu dosa yang dilakukan. Berzikir juga Allah janjikan akan mengangkat darjatnya seperti dikatakan oleh Rasulullah SAW: “Apakah kamu mahu aku ceritakan kepadamu berkenaan amal perbuatanmu yang terbaik dan yang paling bersih dalam pandangan Allah serta orang yang tertinggi darjatnya di antara kamu, yang lebih baik dari bersedekah emas dan perak serta lebih baik dari memerangi musuh kamu semua dan memotong leher mereka, dan mereka juga memotong leher kamu!” Kemudian sekalian sahabat bertanya: “Apakah itu wahai Rasul?” Baginda SAW menjawab: “Zikir kepada kepada Allah.” – Hadis riwayat Al- Baihaqi
Menurut Syeikh Hakim Moinuddin Chisti, melalui zikir seseorang itu akan mendapat 10 kebaikan. Antaranya ialah seseorang hamba itu akan dapat membentengkan diri daripada bisikan syaitan. Selain itu orang yang berzikir akan dilimpahi keredaan Allah, dimurahkan ruang rezekinya, membangkitkan aura sahsiah peribadi murni, dapat menghidup dan menjernihkan hati. Demikian juga katanya mukmin yang senang berzikir itu akan mencapai taraf hampir dengan Allah, mengelakkan diri daripada sifat mazmumah seperti mengumpat dan mengeji. Manfaat lain ialah seseorang itu akan berupaya membina fikiran yang positif, dinamik dan bersedia hidup penuh berani. Terakhir yang dikirakan amat penting kepada kita ialah dapat menenggelamkan sifat munafiq. Begitulah hikmah berzikir menurut pendapat Syeikh Hakim Moinuddin Chisti. Jadi, marilah kita bersama-sama menjadikan takwim harian kita dengan memasukkan zikir yang perlu dan mesti dilaksanakan. Insya-Allah dengan berzikir, aura dan tenaga kebangkitan jiwa dan kejernihan hati yang luhur dapat dizahirkan. Insya-Allah.
Dipetik Dari Berita Harian Online
PERSOALAN AGAMA : PASANG PELITA SAMBUT TUJUH LIKUR AMALAN BIDAAH

Soalan: APAKAH pandangan agama mengenai amalan memasang pelita bagi menyambut malam tujuh likur yang lebih bersifat budaya. Ingin Tahu. Jawapan:Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang melakukan perkara yang baru dalam urusan agama sesuatu yang bukan daripadanya, maka ia ditolak. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Walaupun sejarawan dan budayawan menjelaskan perkara ini lebih bersifat budaya, persoalannya mengapakah tradisi ini terbatas pada Ramadan saja. Ada sebab tertentu yang menjadikan masyarakat mengamalkan sesuatu budaya. Contohnya, pesta menuai diadakan untuk merai roh petani yang mengajar hidup berdikari atau untuk penguasa yang menjaga kepentingan petani. Hujah makhluk halus menjaga hasil tanaman tidak boleh diterima akal. Firman Allah SWT dalam surah Yusuf ayat 106 bermaksud: "Dan (orang beriman kepada Allah), kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mempersekutukan-Nya dengan yang lain."

Mentafsirkan ayat ini, Hammad Salamah meriwayatkan daripada 'Asim Abinnujud keprihatinan sahabat kepada syirik menjadikan mereka merungkaikan perkara itu walaupun kurang disenangi. Contohnya, Huaifah yang menziarah seorang yang sakit lalu mendapati dia memakai tangkal kulit. Huzaifah memotongnya lalu membacakan ayat ke-106 surah Yusuf ini. Umat harus menyedari Islam yang menjadi pegangan sudah sempurna dengan turunnya ayat ketika hajjatul wada iaitu firman-Nya dalam surah al-Maidah ayat ke-3 bermaksud: "Pada hari ini, Aku sudah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku sudah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku sudah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu." Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya: "Kesempurnaan Islam bermaksud umat tidak memerlukan kepada penambahan dalam ibadat dan mereka tidak memerlukan kepada sesiapa pun melainkan petunjuk Nabi Muhammad SAW.

"Tiada lagi suatu yang halal selain dihalalkan Islam dan tiada yang haram selain diharamkan Islam, dan tiada penambahan terhadap apa yang sudah disyariatkan." (Terjemahan Sahih Tafsir Ibn Kathir). Berbalik kepada soalan anda, menyalakan pelita pada malam likur ini tiada asasnya dalam sunah Nabi apatah lagi ayat al-Quran. Umat Islam dinasihat meninggalkan amalan sia-sia ini kerana bukan saja membazir, malah membuang masa sehingga menjejaskan penumpuan.
Dipetik Dari Berita Harian Online
AMALAN SEDEKAH PALING AFDAL PADA RAMADAN
Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

Amalan bersedekah yang amat dianjurkan Islam dan akan mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW sentiasa menunjukkan teladan kepada umatnya dalam perbuatan bersedekah. Sabda Rasulullah yang bermaksud, “Jagalah kalian dari neraka, meskipun hanya dengan separuh kurma.’ (Hadis Bukhari). Di sini jelas kepada kita bahawa Islam sangat menekankan kepada amalan bersedekah dan nilai sedekah itu tidaklah hanya tertakluk kepada banyaknya yang dihulurkan seseorang, akan tetapi terletak pada nilai keikhlasan niat di hati. Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang bersedekah sebesar biji kurma dari hasil yang baik dan Allah SWT hanya menerima sesuatu yang baik saja. Nescaya Allah SWT akan menerimanya dengan tangan kanan-Nya, lalu memeliharanya untuk diberikan kepada pemiliknya sebagaimana salah seorang daripada kalian memelihara anak kudanya hingga (pahala sedekahnya itu) menjadi seperti gunung”. (Hadis Bukhari). Begitulah indahnya ajaran Islam yang menggalakkan umatnya bersedekah dan Allah SWT sendiri menjamin pahala untuk orang yang mengamalkannya sebagai agenda kehidupan mereka. Menyentuh aspek bersedekah, Islam tidak pernah mengehadkan tempoh masa malahan boleh dilaksanakan pada bila-bila masa saja mengikut kemampuan seseorang. Namun demikian, amalan bersedekah yang paling afdal di sisi Allah SWT ialah ketika bulan Ramadan. Ini dapat kita perhatikan menerusi satu hadis Nabi bermaksud, dari Ibnu Abbas, berkata: “Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan dan lebih besar kedermawannya pada bulan Ramadan ketika Jibril menemuinya. Jibril biasanya menemuinya setiap malam Ramadan, lalu tadarus al-Quran (dengan Nabi SAW). Sungguh Rasulullah ketika ditemui Jibril menjadi orang yang lebih bermurah hati dalam memberikan kebaikan, sehingga lebih banyak daripada tiupan angin.’ (Hadis Bukhari dan Muslim) Jadi berasaskan kepada hadis itu dapat disimpulkan bahawa kita sebagai umat Islam sangat dituntut dalam membudayakan amalan bersedekah, lebih-lebih semasa menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan yang penuh berkat itu.

Dalam soal memberi sedekah itu, semua orang mampu melakukannya sama ada dalam kuantiti yang banyak mahupun sedikit. Apa yang utama ialah sikap dan niat kita mesti menjuruskan kepada ikhlas kerana Allah SWT. Banyak yang boleh seseorang sumbangkan sebagai sedekah pada bulan Ramadan ini. Antaranya ialah memberikan makan minum kepada orang berpuasa. Dalam masyarakat Melayu, menyediakan juadah untuk berbuka sentiasa diadakan di masjid, surau mahupun di madrasah. Hal itu sangat mulia dan wajar diteruskan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,’ Barang siapa memberikan makanan untuk berbuka kepada orang yang berpuasa, maka ia memperoleh pahala sama dengan orang yang berpuasa; sedangkan pahala orang yang berpuasa itu sendiri tidak berkurang sedikit pun. (Hadis At Tirmidzi) Hadis ini mendorong kita umat Islam supaya tidak mementingkan diri sendiri pada bulan Ramadan, akan tetapi menggalakkan umatnya menjaga kepentingan orang lain. Alangkah indahnya tuntutan Islam ke atas umatnya kerana dengan pengamalan bersedekah khususnya ketika bulan Ramadan pasti membibitkan rasa kebersamaan dan semangat ukhwah yang mantap dalam kalangan ummah.

Justeru, ketika kita sedang asyik menunaikan ibadah berpuasa di bulan Ramadan ini, segala amalan sunat dan amal makruf seperti bersedekah seharusnya diperbanyakkan dengan satu niat, hanya ingin mendapat reda Allah. Insya-Allah mereka yang pemurah dalam bulan Ramadan itu pasti ‘dekat dengan Allah’ dan Allah SWT meredainya serta diberikan ganjaran pahala yang besar.
Dipetik Dari Berita Harian Online (110909)
TAJDID IMAN : HUBUNGAN MANUSIA, PENCIPTA PERLU SENTIASA UTUH
Oleh Juanda Jaya

Berdoa minta pertolongan hendaklah sepanjang masa bukan ketika berdepan musibah RAMAI yang meminta kepada manusia tetapi tidak mahu meminta kepada Allah SWT. Mereka juga pandai menjaga hubungan baik dengan manusia tetapi memutuskan hubungannya dengan Allah SWT. Mereka bergantung kepada manusia dan berharap mendapat manfaat daripadanya sehingga melupakan kuasa Allah SWT yang memberi manfaat dan mudarat. Perbuatan sebegini boleh menyebabkan iman seseorang terjejas. Seolah-olah mereka hilang kepercayaan kepada Allah SWT, padahal Dialah yang menggenggam ubun-ubun setiap makhluk. Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik berjumpa dengan cucunda Umar bin Al-Khattab, seorang warak, zuhud lagi alim bernama Salim bin Abdullah bin Umar al-Khattab. Kedua-duanya berada di Baitullah. Khalifah bertanya: "Apakah kamu mempunyai hajat kepadaku, wahai Salim?" Salim menjawab: "Wahai Sulaiman tidakkah engkau malu mengatakan itu padahal engkau berada di Baitullah? Kemudian Salim keluar dan Sulaiman menunggunya di luar Baitullah dan kembali bertanya: "Apakah kamu mempunyai keperluan kepadaku?" Salim bertanya juga: "Keperluan dunia atau akhirat, wahai khalifah?" Sulaiman menjawab: "Keperluan dunia." Salim berkata: "Adapun tentang keperluan dunia, kepada yang memilikinya pun aku tidak pernah meminta, bagaimana mungkin aku memintanya kepada yang tidak memilikinya? Kepada Allah SWT yang memiliki dunia dan segala isinya pun beliau tidak meminta kecuali untuk kepentingan akhiratnya saja, apatah lagi kepada manusia yang hakikatnya tidak memiliki apa-apa. Begitu kuatnya hubungan orang mukmin kepada Allah SWT melebihi hubungan sesama manusia di dunia ini. Keyakinannya kepada Allah SWT terpacak kukuh dan tidak mungkin digoyah oleh kuasa apapun. Orang mukmin berpegang kepada satu keyakinan, iaitu hanya kepada Allah SWT, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Dan jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah Al-An'am: 17)

Apabila syaitan pernah meminta kepada Allah SWT dan permintaannya dimakbulkan, mengapa ramai manusia tidak yakin dengan doanya kepada Allah SWT seterusnya berhenti berharap, berputus asa daripada rahmat-Nya dan mencabut akar keyakinan daripada hatinya kepada Allah SWT? Sedangkan iblis diberi peluang, inikan pula manusia makhluk pilihan paling mulia. Sebagaimana yang terakam di dalam surah Al-A'raf: 14-15, maksudnya: "Iblis berkata: Beri tangguh kepadaku sampai waktu mereka (manusia) dibangkitkan". Allah berfirman: Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi tangguh." Sehebat dan sekuat apapun, manusia tetap makhluk yang tidak berupaya melawan takdir-Nya. Dia memerlukan pertolongan Allah SWT, menyandar pada rahmat-Nya, bergantung hidup kepada limpah kurnia-Nya dan mengharapkan belas kasihan ketika menghadapi sebarang musibah.

Namun begitu, ada juga yang bergantung kepada Allah SWT ketika susah saja, jika sudah berakhir kesusahannya dia kembali berpaling. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya, begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan." (Surah Yunus: 12) Mengapa cepat sekali hati berubah? Sekejap ingat sekejap lupa, iman dan kufur bertukar-tukar seperti baju yang dipakai. Benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Bersegeralah kalian mengerjakan amal soleh. Kerana akan terjadi bencana yang menyerupai malam yang gelap, iaitu seseorang yang pada waktu pagi beriman tetapi pada waktu petang dia kafir atau sebaliknya pada waktu petang dia beriman dan pada pagi harinya dia kafir. Dia menukar agamanya dengan sedikit keuntungan dunia." (Hadis riwayat Muslim) Perubahan iman yang berlaku sebegini pada asasnya disebabkan renggangnya hubungan manusia dengan Allah SWT, lemahnya keyakinan mengenai sifat-Nya dan kejahilan yang disengajakan. Secara sengaja mereka menolak kebenaran al-Quran dan Sunnah, berdolak-dalih mencari alasan untuk meninggalkan agama ke tepi. Pandai berputar belit menafikan ayat-ayat Allah dan semua itu dilakukan kerana mereka lupa siapa diri mereka sebenarnya. Jika mereka berpijak pada bumi nyata, mereka akan menghayati kelemahan diri. Mereka memerlukan Allah SWT untuk selamat sampai ke tujuan. Jika mereka diliputi kesulitan hanya kepada Yang Maha Kuasa saja tempat bergantung. Apabila tiada lagi kekuatan dalam diri yang boleh menyelamatkan maka mereka menjerit mencari Tuhan Yang Maha Perkasa. Sebagaimana jeritan Qarun dan Firaun, kaum 'Ad dan Tsamud. Sedangkan Nabi Musa merayu kepada Bani Israil setelah berkali-kali dikecewakan dengan kekufuran mereka.

Walau diri pernah ternoda oleh dosa dan maksiat, tetaplah berharap kepada Allah SWT. Sesiapa yang memutuskan hubungan dengan Allah maka dia akan terputus daripada kesenangan dunia dan di akhirat pula menanti azab yang kekal selama-lamanya. Doa dan harapan kepada Allah adalah senjata yang paling tajam untuk membunuh iblis dan syaitan. Doa seorang hamba melemahkan semangat iblis untuk menyesatkannya dari jalan Allah. Disebabkan tangisan, ketakutan, harapan dan cemas mengiringi doa seorang hamba membuat iblis berputus asa seketika. Apatah lagi mendengar ketulusan seorang yang menyerahkan segala permintaannya menurut ilmu Allah SWT bukan menurut kehendak diri sendiri. Sebagaimana doa Nabi Nuh AS saat melihat darah dagingnya sendiri tenggelam ditelan banjir besar. Firman Allah yang bermaksud; "Nuh berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari memohon kepada Engkau sesuatu yang aku tiada mengetahui (hakikat)nya dan sekiranya Engkau tidak memberi ampun kepadaku, dan (tidak) menaruh belas kasihan kepadaku, nescaya aku termasuk orang-orang yang merugi." (Surah Hud ayat: 47) Bolehkah kita menghadirkan sangka baik kepada Allah SWT dalam keadaan seteruk apapun dan mempersembahkan doa yang paling tulus? Belum terlambat untuk mengetuk pintu langit dengan bahasa yang paling indah dan lembut diiringi dengan harapan dan keyakinan kepada janji Allah SWT. Sesungguhnya tidak akan ditolak doa orang yang berpuasa. Amin ya Allah, ya rabbal 'alamiin.
(Penulis ialah Mufti Perlis )
Dipetik Dari Berita Harian Online
SUASANA RAI RAMADHAN DI MAKKAH 700 TAHUN LALU Susunan Muhd Yusuf Abu Bakar (bhagama@bharian.com.my)
Ibn Batuttah gambarkan Baitullah gemerlapan, penduduk beribadat sepanjang malamPENGEMBARA agung Islam, Ibn Battutah banyak mengungkap mengenai kehidupan, budaya dan tempat menarik sepanjang 29 tahun mengembara bermula dari tanah kelahirannya di Tangiers, Maghribi pada 1325 (700 Hijrah) meliputi Afrika Utara, Semenanjung Arab, Balkan, Parsi, India, Kepulauan Melayu dan China. Ibn Battutah tidak melepaskan peluang untuk memberi gambaran sambutan Ramadan di kalangan penduduk Makkah ketika kunjungan ke Kota Suci itu. Berikut ialah catatan Ibn Batuttah, lebih 700 tahun lalu yang dipetik daripada buku Pengembaraan Ibnu Battutah (Rihlah Ibn Battutah). Apabila anak bulan Ramadan muncul, gendang serta kompang dipalu di rumah Amir Makkah dan suatu persediaan hebat dibuat di Masjidil Haram. Hamparan diganti baru, lilin dan obor ditambah sehingga Baitullah bergemerlapan cahaya, berseri-seri dan gilang-gemilang.

Imam berpecah kepada beberapa kumpulan dan setiap seorang bersama pengikut mazhab masing-masing iaitu Syafie, Hambali, Hanafi dan Zaidiyyah. Pengikut Mazhab Maliki pula mengumpulkan empat qari yang bergilir-gilir membaca al-Quran dan menyalakan lilin. Tiada satu ruang atau sudut pun di Masjidil Haram tidak diduduki qari yang mendirikan solat bersama-sama jemaahnya. Bergemalah masjid dengan suara qari dan setiap jiwa menjadi lembut, hati menjadi khusyuk dan air mata pula jatuh berguguran. Selain itu, ada juga antara penduduk Makkah yang hanya menunaikan tawaf dan solat di Hijr secara bersendirian. Imam Mazhab Syafie adalah paling tekun beribadah. Apabila selesai solat Tarawih 20 rakaat, imam mereka biasanya melakukan tawaf mengelilingi Kaabah bersama jemaahnya. Apabila selesai membuat tujuh pusingan tawaf, farqa'ah (sebatang kayu yang dililit dengan kulit binatang yang nipis di hujungnya) yang dibawa di hadapan khatib pada Jumaat seperti yang diceritakan sebelum ini, dipalu sebagai pengumuman supaya setiap orang kembali menunaikan solat. Kemudian imam mendirikan solat dua rakaat dan sesudahnya pula, menunaikan tawaf sebanyak tujuh pusingan. Beginilah keadaannya sehingga beliau menyempurnakan 20 rakaat yang lain bersama-sama jemaahnya. Kemudian mereka mendirikan pula solat syaf (genap) dan witr lalu bersurai. Imam yang lain pula tidak membuat sebarang penambahan kepada adat yang biasa diamalkan ketika menunaikan solat.

Apabila tiba waktu sahur, Mu'azzin Zamzami akan menjalankan tanggungjawab untuk mengumumkan waktunya dari menara yang terletak di timur Masjidil Haram. Beliau akan berdoa, memberikan peringatan dan galakan kepada orang ramai supaya bersahur. Ini dituruti oleh semua mu'azzin di menara yang lain. Apabila seorang daripada mereka bersuara, sahabatnya akan menjawab. Di puncak setiap menara pula ada sekeping papan yang di hujungnya diletakkan sebatang kayu secara melintang. Dua lentera (lampu) besar yang dinyalakan dan diperbuat daripada kaca digantungkan pada kayu ini. Apabila waktu fajar semakin hampir dan peringatan supaya berhenti makan diberikan dari semasa ke semasa, kedua-dua lentera tersebut diturunkan. Mu'azzin pula mula melaungkan azan dan ia tingkah-meningkah antara satu sama lain. Bumbung rumah di Makkah, semoga Allah memuliakannya, setara dan mendatar. Oleh itu, sesiapa yang rumahnya jauh sehingga tidak dapat mendengar azan akan dapat melihat kedua-dua lentera itu dan bersahur. Apabila tidak lagi dapat melihat kedua-dua lentera, ia akan berhenti makan. Pada 10 malam ganjil (witr) yang terakhir Ramadan, penduduk Makkah akan mengkhatamkan bacaan al-Quran. Kadi, fuqaha dan pembesar turut menghadiri majlis berkhatam ini. Orang yang membaca bahagian yang terakhir al-Quran ialah anak kepada seorang pembesar Makkah. Apabila ia selesai mengkhatamkan bacaan al-Quran, sebuah mimbar yang dihiasi sutera dibawa untuknya dan lilin pun dinyalakan. Kemudian ia menyampaikan khutbah. Apabila selesai khutbah, bapanya akan menjemput orang ramai datang ke rumah dan menjamu mereka dengan makanan yang banyak serta pelbagai kuih-muih. Begitulah amalan penduduk Makkah pada setiap malam witr. Bagaimanapun, malam yang paling mulia di sisi mereka ialah malam ke-27. Sambutan mereka untuk malam ini adalah lebih hebat daripada sambutan yang dibuat terhadap malam yang lain. Pada malam ini, al-Quran dikhatamkan di belakang Maqam Nabi Ibrahim. Bertentang dengan Hatim Mazhab Syafie, sebuah pentas didirikan. Pentas ini diperbuat daripada alang kayu yang bersambung dengan Hatim itu. Di antara kedua-duanya pula dilintang papan yang panjang. Pentas ini dibina sebanyak tiga tingkat dan di puncaknya diletakkan lilin serta lentera kaca. Sinaran cahaya menyilaukan mata memandang. Kemudian imam datang dan menunaikan solat Isyak. Kemudian beliau mula membaca surah al-Qadr. Imam pada malam sebelumnya akan menghentikan bacaan sebelum Surah al-Qadr.

Semua imam berhenti menunaikan solat Tarawih untuk memberikan penghormatan kepada majlis berkhatam al-Quran di Maqam Nabi Ibrahim dan mereka sendiri datang menghadiri majlis berkhatam al-Quran ini untuk mengambil berkat. Imam menamatkan bacaan dengan membaca surah terakhir dalam dua salam iaitu empat rakaat. Kemudian beliau akan bangun berkhutbah dengan menghadap Maqam. Selesai berkhutbah, imam akan mendirikan solat semula dan orang ramai pun bersurai. Majlis berkhatam al-Quran pada malam yang ke-29 pula diadakan di Maqam Mazhab Maliki. Sepanjang malam itu, khutbah akan disampaikan dan tiada upacara kemegahan lain yang diadakan selainnya.
(Dipetik daripada buku Pengembaraan Ibn Batttutah, karya terjemahan IKIM, terbitan MPH Group Printing (M) Sdn Bhd)
KELEBIHAN SOLAT TARAWIH

1. Kelebihan Solat Tarawih Malam Pertama : Diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.

2. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kedua : Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat Tarawih, serta dosa-dosa kedua ibubapanya.

3. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketiga : Para malaikat di bawah ‘Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.

4. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempat : Orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

5. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelima : Allah SWT akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjidil Haram, Masjidil Madinah dan Masjidil Aqsa.

6. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenam : Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih malam itu.

7. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuh : Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir’aun dan Hamman.

8. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapan : Allah S.W.T mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.

9. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilan : Allah S.W.T akan mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad S.A.W.

10. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesepuluh : Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat.

11. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesebelas : Ia meninggal dunia di dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.

12. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduabelas : Ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya-cahaya.

13. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigabelas : Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman sentosa dari sebarang kejahatan dan keburukan.

14. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempatbelas : Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat Tarawih serta Allah S.W.T. tidak akan menyesatkan mereka.

15. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelimabelas : Semua malaikat yang memikul ‘Arasy dan Kursi akan berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

16. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenambelas : Allah S.W.T. menuliskan baginya dari kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

17. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuhbelas : Allah S.W.T menuliskan baginya pahala pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.

18. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapanbelas : Malaikat akan menyeru: Wahai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati).

19. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilanbelas : Allah S.W.T akan meninggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.

20. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh : Allah S.W.T mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.

21. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh satu : Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat dari cahaya.

22. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh dua : Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman dari sebarang huru-hara pada hari tersebut.

23. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tiga : Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga daripada cahaya.

24. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh empat : Allah S.W.T akan membuka peluang untuk dua puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

25. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lima : Allah S.W.T akan mengangkat seksa kubur darinya.

26. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh enam : Allah S.W.T akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

27. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tujuh : Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.

28. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lapan : Allah S.W.T akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di akhirat.

29. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh sembilan : Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.

30. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigapuluh : Allah S.W.T akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): Wahai hambaku!, makanlah segala jenis buah-buahan yang Engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Al-Kautsar.
SOLAT HAJAT
Niat Solat Hajat :

Sahaja Aku Sembahyang Sunat Hajat Dua Rakaat Kerana Allah Taala

Rakaat 1 : Al-Fatihah Dan Ayat Qursi

Rakaat 2 : Al-Fatihah Dan Al-Ikhlas

AMBIL PELUANG REJAB LUNAS HUTANG PUASA RAMADAN
Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Menunaikan qada ibadat wajib lebih utama daripada mengerjakan amalan sunat APABILA masuk Rejab, ia menandakan Ramadan akan berkunjung tidak lama lagi. Ramadan yang dikenali sebagai penghulu segala bulan, menjanjikan kelebihan luar biasa serta membuka peluang seluas-luasnya kepada setiap Muslim memohon keampunan kepada Yang Maha Pencipta. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran, diampunkan baginya segala dosa yang sudah lalu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Oleh sebab itu, kenikmatan dan kerinduan menunggu tibanya Ramadan hanya akan dapat dirasai oleh jiwa yang sentiasa peka terhadap hak dan tuntutan Allah kepadanya.

Puasa adalah perkara asas dalam Islam yang seterusnya menjadi kayu ukur kepada tahap keimanan seseorang Muslim. Namun, Islam tidak pernah memberatkan hambanya dengan sesuatu yang tidak mampu ditunaikan. Firman Allah yang bermaksud: "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya." (Surah al-Baqarah, ayat 286) Oleh itu, ada sebahagian kita yang mendapat kebenaran meninggalkan puasa pada Ramadan yang lalu. Antaranya, orang yang dalam musafir, wanita sedang haid atau nifas, wanita hamil, golongan mempunyai masalah kesihatan mahupun pekerja yang terpaksa melakukan kerja berat dan menggunakan banyak tenaga.

Bagi mereka ini, kebenaran meninggalkan puasa bukanlah untuk mengecualikan mereka daripada ibadah puasa, akan tetapi kewajipan menunaikan qada' (ganti) puasa haruslah diambil kira supaya tidak tergolong di kalangan hamba Allah yang rugi pada kemudian hari. Firman Allah yang bermaksud: "(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain." (Surah al-Baqarah, ayat 184) Di sinilah terpancar keadilan Islam dalam perintah menunaikan ibadat khusus kepada umatnya. Sebarang kesulitan dan masalah yang menimpa, tidak boleh dijadikan alasan untuk lari daripada tanggungjawab melaksanakan ibadat. Mungkin ada yang teruja melakukan amalan puasa sunat tertentu seperti dianjurkan Islam, namun sebenarnya menunaikan qada' puasa Ramadan adalah lebih utama. Hal ini seperti mana dijelaskan menerusi sebuah hadis Qudsi yang bermaksud: "Dan tidaklah hampir kepada-Ku seseorang hamba dengan apa juga pun, maka yang lebih Aku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardu (wajib) ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin mendampingi-Ku dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya." (Hadis riwayat Bukhari)

Jelas kepada kita, menunaikan qada' ibadat yang wajib adalah lebih utama daripada melakukan ibadat sunat. Jika amalan wajib tidak terlaksana maka kita dikira berhutang dengan Allah dan menjadi satu kewajipan melunaskannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Hutang Allah lebih layak untuk dipenuhi terlebih dulu." Menurut Syeikh Muhammad ibn Soleh al-'Uthaimin, puasa sunat tidak boleh ditunaikan melainkan sudah sempurna puasa wajib iaitu puasa Ramadan. Keadaan itu disandarkan melalui hujah berasaskan sabda Rasulullah SAW ketika menyatakan kelebihan puasa enam hari pada Syawal. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang berpuasa pada Ramadan, kemudian diikuti dengan enam hari pada Syawal, maka ia (pahala puasa) adalah seperti puasa setahun." (Hadis riwayat Muslim) Secara tidak langsung, hadis itu menjelaskan tuntutan memenuhi puasa Ramadan mengatasi amalan puasa sunat yang juga dituntut Islam sebagai satu peluang menampal kecacatan puasa pada Ramadan. Janganlah kita menjadi orang yang mengejar amalan sunat, sedangkan yang wajib ditinggalkan begitu saja. Sementara masih ada masa sebelum tiba Ramadan tahun ini, bagi mereka yang masih lagi berhutang dengan Allah, maka sewajarnya bersegera menunaikan qada' ibadah puasa Ramadan lalu. Secara tidak langsung, ia juga boleh dijadikan medan latihan sebelum kedatangan Ramadan nanti. Latihan berpuasa sebelum kedatangan Ramadan dapat memberi isyarat awal kepada anggota tubuh badan untuk berehat daripada aktiviti makan dan minum serta yang lebih penting, dapat mendidik nafsu dalam memenuhi tuntutan Allah. Saidatina Aisyah memberi contoh kepada kita bahawa amalan menunaikan qada' puasa Ramadan pada bulan Syaaban iaitu hampir kepada datangnya Ramadan adalah dibolehkan dalam Islam. Saidatina Aisyah berkata yang bermaksud: "Kewajipan ke atasku untuk puasa (qada') dari puasa Ramadan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang Syaaban." (Hadis riwayat Muslim). Berdasarkan hadis itu, jumhur ulama berpendapat penundaan qada' puasa wajib selewat-lewatnya adalah Syaaban dan tidak boleh sampai masuk Ramadan berikutnya. Sebenarnya keadaan ini bukanlah bermaksud menunaikan qada' ibadat wajib itu tidak penting sehingga boleh di lewat-lewatkan, akan tetapi ia memberi mesej berpuasa ketika waktu hampir tibanya Ramadan dapat melatih rohani dan jasmani lebih aktif dan bersemangat melalui Ramadan nanti. Diriwayatkan oleh Anas, katanya, Rasulullah SAW ditanya: "Apakan puasa yang afdal selepas puasa Ramadan? Lalu Baginda SAW menjawab: "Puasa di bulan Syaaban iaitu untuk memuliakan Ramadan." (Hadis riwayat at-Tirmidzi) Marilah sama-sama kita berusaha melatih diri mengamalkan ibadat puasa sunat sebelum tibanya Ramadan. Bagi mereka yang masih belum lagi menunaikan qada' puasa Ramadan yang lalu, maka ambillah peluang yang ada ini untuk melunaskan hutang Allah itu. Menurut mazhab Syafie dan jumhur ulama, bagi mereka yang gagal menunaikan qada' puasa Ramadan lalu sehingga tiba Ramadan berikutnya, maka mereka diwajibkan membayar fidyah iaitu memberi makan seorang miskin untuk setiap hari tidak berpuasa, di samping kewajipan menunaikan qada' puasa masih tertanggung di bahunya. Sesungguhnya ibadat puasa besar nilainya di sisi Allah dan begitu juga dari aspek kesihatan. Sebuah hadis Qudsi menjelaskan kelebihan ibadat puasa yang antara lain bermaksud: "Setiap amalan anak Adam adalah baginya kecuali puasa, sesungguhnya ia (puasa) adalah untuk-Ku dan Akulah yang memberi ganjarannya, dan bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bau al-misk (wangian) di sisi Allah." (Hadis riwayat Bukhari)
Dipetik Dari : Berita Harian Online
ILMUWAN ISLAM WAJAR MELESTARI TEKNOLOGI CANGGIH
Oleh Abdul Razak Idris

Blog pemikir harus diwujudkan untuk berdakwah kepada ummah dalam dunia siber BERKURUN lalu, ilmuwan Islam yang lahir selepas pemerintahan Khalifah yang empat, ketika pemerintahan Bani Umaiyyah dan Bani Abbasiah mengangkat tamadun Islam sebagai yang terbaik di dunia hingga menjadi asas kepada perkembangan teknologi mutakhir. Pada zaman yang dikenali zaman keagungan Khalifah Ar-Rasyidun, teknologi Islam berkembang pesat di Andalusia, Sepanyol dan kesan ciptaan itu masih boleh dilihat sehingga kini. Selain itu, tamadun Islam turut berkembang maju di Turki sehingga sebesar-besar masjid tidak memerlukan kita untuk memasang sistem audio moden bagi melaungkan azan. Zaman siber ini, umat Islam dilihat sebagai masyarakat pengguna nombor satu. Tidak kira di Asia Barat atau Asia Tenggara, umat Islamlah yang menjadi pengguna paling setia peralatan elektronik buatan barat, timur mahupun China.

Jika ada statistik dibuat, pengguna semua produk hasil teknologi barat adalah kalangan masyarakat Islam. Soalnya tidakkah kita tidak teruja untuk menjadi perintis teknologi era baru berasaskan agama Islam yang syumul.

Jika Al-Jabir dan Al Khawarizmi masih ada, pasti mereka berasa usaha untuk ummah tidak dihargai oleh umat Islam. Amat menyedihkan kerana walaupun kita memiliki prasarana dan hasil kajian diiktiraf dunia, ia masih tidak dikomersialkan dengan alasan teknologi luar lebih murah dan menguntungkan. Malaysia sebagai sebuah negara Islam perlu menjadi gergasi teknologi dan usaha ke arah itu sudah diadakan sejak Koridor Raya Multimedia (MSC) ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Kita sudah ada pusat pentadbiran yang gah di Putrajaya begitu juga bandar teknologi Cyberjaya yang sedang dimajukan sejak hampir 15 tahun lalu. Pusat teknologi itu sepatutnya digembleng menjadi pusat teknologi Islam yang menempatkan sekolah pemikir ilmuwan Islam yang mewariskan umat Islam dengan cabang dalam pelbagai bidang seperti astronomi, perubatan, kejuruteraan, matematik, sains dan pembinaan.

Teknologi Islam bukan bermakna hanya orang Islam yang wajib mengamalkannya, malah penganut agama lain boleh turut mengamalkannya. Dewasa ini, teknologi komunikasi canggih seperti telefon bimbit masih belum dimanfaatkan sepenuhnya untuk orang Islam. Contohnya, bagaimana telefon bimbit mampu menjadi tasbih sebagai alat pengira untuk zikir di sejadah dan di mana saja. Walaupun ada teknologi yang mampu merealisasikan fungsi sedemikian, ia dianggap teknologi yang perlu dipertingkatkan dan bukan fungsi asas. Oleh itu, pengguna Islam perlu berkempen agar alat canggih seperti telefon dilengkapkan dengan butang mengira zikir yang mampu menggalakkan pengguna Islam beribadat sepanjang masa. Contohnya, untuk mengisi masa ketika tersekat dalam kesesakan atau sedang menunggu tren. Alat Sistem Kedudukan Global (GPS) yang dibangunkan Amerika Syarikat (AS) menjadi sistem berguna hari ini dan sudah dikomersialkan di pasaran dunia. Sesungguhnya teknologi ketenteraan seperti internet yang dibangunkan barat semasa perang dingin antara AS dan Russia kini menjadi teknologi untuk seluruh umat manusia. Bagi masyarakat Islam, jika menghayati ajaran Islam itu sendiri kita akan menjadi umat yang kuat kepada pemantapan pelaksanaan ilmu dan bukan sekadar menjadi pencetus idea atau peniup wisel semata-mata. Teknologi komunikasi seperti internet perlu digunakan oleh pihak yang mempunyai kuasa mentadbir umat Islam untuk menerangkan Islam secara lebih jelas tanpa selindung lagi demi memulihkan imej Islam pasca 9 September 2001. Islam adalah cara hidup dan mementingkan perdamaian sesama seagama dan penganut agama berlainan. Islam hari ini dilihat sebagai alat untuk menjustifikasikan sesuatu perkara dengan dalil serta hujah politik yang asyik meletakkan kesalahan pada bahu orang lain tanpa mencermin diri sendiri. Hanya dengan pendedahan di internet anak muda akan tahu yang mana intan dan kaca. Blog pemikir Islam harus diwujudkan segera dan kita perlu menjadi perintis usaha ini. Beribadat dan berdakwah di masjid sudah biasa, apa salahnya berdakwah kepada anak muda di dunia siber pula. Walaupun angkasawan pertama negara kita sudah ke angkasa lepas, kita sebenarnya masih ketinggalan jauh dari segi prasarana seperti yang ada di Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (Nasa) dan di Baikonur, Kazakhstan, yang menjadi tempat pelepasan angkasawan pertama Yuri Gagarin. Satelit terbaru negara, RazakSat yang bakal ke angkasa tidak lama lagi ini selepas ditangguhkan akibat masalah teknikal juga boleh dibanggakan kerana teknologinya dibangunkan oleh syarikat ATSB di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) yang memiliki jurutera di kalangan umat Islam. Ini amat membanggakan sebagai pencapaian teknologi negara Islam yang wajar dicatatkan dalam sejarah negara. Apatah lagi RazakSat bukan sekadar satelit biasa, ia adalah satelit dengan teknologi alat pengesan jauh sama seperti TiungSat-1 yang dilancarkan pada 26 September 2000. Teknologi Islam perlu dilestarikan kerana zaman ini anak muda mudah leka dengan dunia teknologi tanpa ada inisiatif untuk mendekatkan diri dengan sumber Islam. Kita sedar teknologi canggih hari ini sudah diasaskan oleh orang Islam suatu ketika dulu dan kita jarang insaf dengan keadaan itu. Malang sebenarnya kerana pakar dan profesional lebih berminat berpolitik tanpa mengambil inisiatif membudayakan teknologi Islam. Umat Islam dikatakan sebagai buih-buih di lautan pada akhir zaman kerana jumlah kita hampir separuh penduduk dunia. Tetapi, mengapa masih lagi menjadi pengguna teknologi bukan Islam dan kurang memperkasakan teknologi Islam yang canggih. Mungkin kerana sesama umat Islam agak berat bekerjasama dan itulah sebabnya.
Dipetik Dari : Berita Harian Online
KEPEMIMPINAN DALAM TAKWA, IMAN WUJUDKAN KEHARMONIAN
Oleh Dr Aminudin Mansor

KEADILAN penting dalam pemerintahan, begitu juga kepemimpinan dalam sesebuah keluarga akan dipersoalkan di akhirat kelak. Setiap daripada kita adalah pemimpin bagi diri keluarga, masyarakat dan negara. Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang berlaku adil di sisi Allah akan menduduki beberapa mimbar diperbuat daripada cahaya. Mereka ialah orang yang berlaku adil di dalam pemerintahan, ke atas keluarga dan apa-apa yang ditadbir mereka." (Hadis riwayat Muslim) Ciri pemimpin yang baik mestilah perlu mempunyai kecerdasan spiritual tinggi dan memahami penderitaan serta kehendak rakyat dipimpinnya. Begitulah sebagai ibu atau bapa mesti memahami kehendak ahli keluarga dipimpinnya dan bertindak adil dengan penuh kesedaran.

Menurut K H Dewantara, pemimpin di hadapan memberi contoh sehingga dapat diteladani, di tengah memberi dorongan semangat dan mengikuti dari belakang dengan memberi kekuatan dalam usaha melaksanakan tugas. Muhammad Iqbal berkata, seseorang pemimpin mesti mempunyai semangat patriotisme. Oleh sebab itu, seseorang pemimpin mestilah memerintah dengan bijaksana, ia akan dipatuhi dengan senang hati oleh orang dipimpinnya. Sewajarnya, seseorang pemimpin mestilah berakhlak, beradab, berani bertindak, bersikap adil, lemah lembut, penyayang, saksama, berdisiplin, selalu bermusyawarah, memudahkan dan mempunyai misi mengarah ke masa hadapan.

Aisyah berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya sebahagian tanda orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah mereka yang paling berakhlak mulia dan paling lembut kepada keluarganya." – (Hadis riwayat Tirmidzi dan Al-Hakim) Perilaku seseorang pemimpin yang baik akan menjadi ikutan kepada orang dipimpin. Apabila perilaku baik, sifat ini akan menjadi ikutan dan teladan kepada orang dipimpin ke arah mewujudkan ummah cemerlang di dunia dan akhirat. Khalifah Umar Al-Khattab adalah contoh pemimpin yang berani dan tegas. Selain itu, beliau juga mempunyai sifat dan rasa kasih sayang tinggi, adil dalam menghukum, suka bermusyawarah, tidak sombong, pendengki dan tidak pendendam. Beliau mendahulukan kepentingan masyarakat daripada kepentingan peribadi. Suka menerima kebenaran daripada sesiapa saja, sederhana, tidak berlebihan dalam makan minum, berpakaian dan hidup seperti rakyat biasa. Beliau sangat benci kepada yang batil dan berani membela yang benar.

Khalifah Umar Al-Khattab pernah berkata: "Janganlah engkau datangi sesuatu yang tidak penting bagimu! Jauhkan diri daripada musuhmu. Awaslah daripada temanmu yang ramai, kecuali teman kepercayaanmu! Jangan kau percaya selain orang yang takut kepada Allah. Jangan engkau berteman dengan orang zalim, kerana nanti engkau peroleh pengetahuan dari kezalimannya! Jangan engkau perlihatkan kepadanya rahsiamu! Dan bermusyawarah dalam urusanmu dengan mereka yang takut kepada Allah." Sebagai pemimpin Saiyidina Umar Al-Khattab seorang yang berani, tegas, disegani oleh kawan dan lawan, berakhlak mulia, berhati jujur dan perkataannya selalu benar. Begitu juga khalifah pertama, Abu Bakar As-Siddiq, yang lebih cinta kepada Allah dan Nabi SAW melebihi cintanya kepada harta benda serta anak serta isterinya sendiri. Sebagai pemimpin, beliau adalah seorang yang gagah berani, suka menolong orang miskin, memuliakan tetamu, pemurah lagi bersopan santun serta dermawan. Antara kata nasihatnya: "Aku adalah manusia biasa dan aku bukanlah manusia yang terbaik di antara kamu. Apabila kalian lihat perbuatanku benar, ikutlah aku, tetapi apabila kalian lihat perbuatanku salah, maka perbetulkan aku." Begitulah sifat rendah diri dan tawaduk yang ada pada pemimpin yang juga sahabat walaupun termasuk antara mereka yang mendapat jaminan masuk syurga. Oleh sebab itu, sebagai pemimpin, baik pemimpin negara, di pejabat, rumah dan dalam kalangan masyarakat, sifat ketakwaan dan keimanan kepada Allah dan Nabi SAW penting bagi mewujudkan keharmonian dalam negara dan masyarakat. Sesungguhnya, sabda Nabi SAW ini seharusnya menjadi renungan dan pandangan kepada kita. Sabdanya yang bermaksud: "Kamu semua adalah penjaga (pemimpin). Dan kamu semua bertanggungjawab terhadap penjagaan (orang yang dipimpin)." – (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dipetik Dari : Berita Harian Online
SIFAT MALU MELAMBANGKAN KEIMANAN
Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Masalah sosial, maksiat berlaku kerana manusia hilang perasaan segan dan siluMALU antara sifat terpuji yang melambangkan ketinggian budi pekerti Muslim dan ketebalan imannya. Sifat malu juga satu petanda membuktikan iman itu bertapak kukuh dalam jiwa sanubarinya, sebaliknya mereka yang tidak mempunyai rasa malu bermakna sudah hilang imannya. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Malu dan iman itu adalah teman yang seiring jalan. Jika salah satu daripadanya terangkat (tiada), nescaya terangkat (tiada) juga yang satu lagi." (Hadis riwayat Muslim)

Sebenarnya, malu adalah sifat semula jadi diciptakan Allah SWT pada setiap insan. Ia dapat diperhatikan apabila seseorang manusia kemerahan wajahnya atau pipinya akibat malu selepas dimarahi atau melakukan sesuatu yang kurang sopan. Ada juga manusia bermuka tebal sehingga tidak menghiraukan apa dilakukannya. Orang itu tidak mempunyai perasaan malu di sudut hatinya. Sifat malu diberi kedudukan istimewa dalam Islam. Rasulullah bersabda bermaksud: "Sesungguhnya bagi setiap agama ada tatasusilanya atau ciri-ciri istimewanya, maka untuk Islam ialah sifat malu." (Hadis riwayat Malik)

Sehubungan itu, Sheikh Muhammad al-Ghazali dalam kitabnya Akhlak Muslim menjelaskan, dalam ajaran Yahudi pada zaman Nabi Musa AS ada ciri kekerasan dan dalam ajaran Masihi pada zaman Nabi Isa AS pula ada ciri kelembutan dan kelonggaran dalam kira bicaranya serta saling bermaaf-maafan. Sementara Islam pula mempunyai sifat malu sebagai ciri keistimewaannya. Ringkasnya, sifat malu mempunyai kedudukan tinggi dalam Islam sehingga dijulang sebagai satu simbol melambangkan nilai keimanan dan kesusilaan seseorang Muslim, sekali gus mengisyaratkan betapa Islam adalah agama menganjurkan umatnya berakhlak mulia dan menjauhi sama sekali segala yang keji. Rasulullah SAW adalah teladan terbaik dalam penampilan akhlak terpuji sehingga diperakui bahawa akhlak Rasulullah SAW terjemahan menyeluruh al-Quran. Sebenarnya, Rasulullah SAW adalah seorang yang amat pemalu dalam tingkah laku sehariannya. Diriwayatkan oleh sahabatnya, Abu Sa'id al-Khudri yang bermaksud: "Rasulullah SAW adalah seorang yang sangat pemalu dan lebih pemalu daripada seorang anak dara dalam kelubungnya dan apabila Baginda melihat sesuatu yang tidak disukainya, nescaya kami dapat camkan yang demikian itu melalui wajahnya." (Hadis riwayat Muslim)

Justeru, wajarlah setiap Muslim menghiasi dirinya dengan sifat malu kerana sifat itu lambang kesempurnaan iman seseorang kepada Allah SWT. Lebih-lebih lagi, sifat malu mampu bertindak sebagai perisai atau benteng bagi seseorang Muslim terjerumus ke lembah kehinaan. Malah, dengan sifat malu yang bertakhta kukuh dalam sudut hati berupaya memartabatkan individu Muslim sebagai Muslim yang kental imannya, luhur budi pekertinya, berdisiplin dan disenangi semua insan. Sebaliknya, seandainya sifat malu terhapus dan tidak bertapak dalam hati seseorang, maka ia menjadi bibit virus atau penyakit yang mampu menggugat keimanan seseorang dan akhirnya dengan mudah terjerumus ke lembah kederhakaan kepada Allah SWT. Mungkin ini bertepatan dengan peringatan keras Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: "Apabila Allah SWT kehendaki untuk membinasakan seseorang hamba, akan dicabut daripadanya perasaan malu. Maka apabila dicabut daripadanya sifat malu, dia akan dibenci orang dan bila dia dibenci orang, akan dicabut daripadanya sifat amanah. Apabila dicabut daripadanya sifat amanah, maka dia didapati sebagai seorang yang khianat dan dikhianati. Jika dia berada dalam keadaan yang sedemikian, akan dicabut pula daripada hatinya perasaan rahmat dan bila ia terjadi begitu, maka dia tidak akan berada melainkan dalam keadaan yang dilaknati dan dimurkai. Bila dia dilaknati dan dimurkai, bermakna terungkailah akhirnya tambatan Islam daripadanya." (Hadis riwayat Ibnu Majah) Akibatnya, berleluasa krisis sosial dan maksiat tanpa batasan dalam kehidupan manusia seperti diperhatikan dalam masyarakat hari ini. Kita melihat muda mudi tanpa segan silu bergandingan tangan dan berpelukan di khalayak ramai biarpun tidak mempunyai ikatan sah. Malah, ada juga yang sudah terlanjur ke lembah perzinaan di mana akhirnya si gadis yang hamil terpaksa melakukan pengguguran terhadap anak yang dikandunginya secara haram. Begitu juga, amalan rasuah yang semakin menjadi-jadi. Semuanya berpunca tidak lain tidak bukan kerana sifat malu tidak menjadi perhiasan wajib dalam diri seseorang Muslim. Pendek kata, sifat malu berupaya menghambat hawa nafsu dan menghalang daripada terjebak ke kancah kehinaan.
BERUSAHA MENCARI REZEKI HALAL ADALAH PERJUANGAN
Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

DUNIA tanpa sempadan mengilhamkan pelbagai ruang dan peluang untuk mencari sumber kewangan bagi menampung keperluan hidup. Bagi yang rajin dan tekun, tiada yang mustahil, malah sesukar mana pun ranjau menghalang, mereka tetap cekal menggenapkan apa yang wajib dinafkahkan. Apatah lagi bagi seorang suami dan bapa, walau tidak diminta, mereka wajib menyediakan seadanya supaya tiada tanggungan yang tidak terbela. Malangnya, ada juga yang mengharapkan wang sekepuk tiba-tiba muncul depan mata tanpa perlu berbuat apa-apa. Lalu, mereka lakukan apa saja asalkan pulangannya lumayan dan tidak perlu berfikir, apatah lagi melaburkan tenaga.

Tambahan pula kecanggihan teknologi mencipta pelbagai wadah dan cara, lalu ramai yang mengambil kesempatan tanpa mengira halal haramnya. Rezeki yang halal untuk disuapkan ke mulut anak adalah tanggungan seorang bapa, atau jika tidak berkemampuan, daripada waris si bapa. Bukan soal senario semasa, keluhan apabila ada tanggungan dibiar kelaparan, tetapi soal segelintir kita yang sangat mudah bertimbang rasa dengan judi dan taruhan, curi dan rompakan, tipu dan rampasan, riba dan penindasan, apa saja asalkan ada wang dibawa pulang untuk anak.
Berjuang dalam kehidupan sebenarnya termasuk berusaha mendapatkan wang halal untuk menampung keperluan diri sendiri dan tanggungan serta tidak meminta dengan orang lain untuk menyuap mulut isteri dan anak. Jika pencari rezeki tidak sanggup melakukannya, timbullah pelbagai cara 'mencari rezeki' yang mudah dan tangkas. Skim cepat kaya yang begitu cepat menular dan menarik minat pencari rezeki ingin pantas bergelar jutawan juga mudah membutakan hati hingga akhirnya bukan rezeki untuk anak dibawa pulang tetapi hutang keliling pinggang. Setiap manusia dikurniakan kelebihan oleh Allah dan perlulah dimanfaatkan semaksimum mungkin supaya kemampuan itu dapat diwakafkan kepada ahli Islam lain yang tidak bernasib baik. Allah menyuruh kita mencari daripada apa yang disediakan dengan tidak menolak keimanan kepada-Nya. Firman Allah yang bermaksud: "Kemudian selepas selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi untuk menjalankan urusan masing-masing dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak dalam segala keadaan, supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)." (Surah al-Jumu'ah, ayat 10)

Sesuatu yang sering dilupakan bahawa pemberian Allah kepada setiap hamba-Nya ialah untuk sementara saja, segala kemewahan dan kesenangan bukanlah milik mutlak sesiapa melainkan Dia. Malah, berapa banyak ingin diberikan kepada yang berusaha dan berikhtiar juga tiada siapa berhak mempersoalkannya, apatah lagi mempertikaikan kelebihan rezeki orang lain. Cuma, yang penting, setiap yang mencari rezeki haruslah berniat untuk memelihara agamanya walau apa juga bentuk pekerjaan halal dilakukan. Usah malu jika kita tidak semampu orang lain mengecap kemewahan dunia jika kita mencari rezeki halal. Tetapi jika sebaliknya, perlu diingat aib yang akan dihadapi di akhirat kelak adalah lebih menakutkan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Dari Abi Hurairah berkata: Nabi SAW bersabda: Akan ada suatu zaman pada umat manusia yang seseorang itu tidak lagi mempedulikan apa yang diambilnya (rezeki yang diterima olehnya) apakah dari yang halal atau haram." Hadis itu jelas memberikan peringatan kepada yang berfikir, bahawa mempedulikan rezeki yang dicari sangatlah penting untuk menjaga agama, sehingga Rasulullah SAW meyakini hal yang sedemikian akan berlaku suatu hari nanti dan ditakuti ia sangat menghampiri. Bukan saja memakan benda haram itu besar akibatnya tetapi yang haram bercampur dengan halal juga menyebabkan kelangsungan tidak baik. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Dari Ibnu Umar katanya: Barang siapa yang membeli pakaian dengan harga 10 dirham, satu dirham daripadanya wang yang haram, maka Allah tidak akan menerima solatnya selama pakaian itu masih dipakainya. Kemudian Ibnu Umar memasukkan kedua jarinya ke dalam dua telinganya, lalu berkata: Biarkanlah telinga ini tuli kerana tidak mahu mendengarkan kata-kata daripada Nabi SAW ini." (Hadis riwayat Bukhari) Daripada peringatan itu tentulah kita memahami Islam tidak akan bertolak ansur dengan sumber pendapatan daripada cara tidak dibenarkan sama sekali. Ketika Saidina Abu Bakar menjadi khalifah, pernah berlaku satu peristiwa terhadap dirinya yang menunjukkan beliau sangat bertegas terhadap sumber rezeki diperoleh dan menjadi darah daging. Suatu hari, ketika Saidina Abu Bakar memakan suatu makanan, hambanya memberitahu makanan yang dimakannya itu adalah hasil diterimanya daripada pekerjaannya sebagai tukang tilik, sebelum dia masuk Islam. Lantas Saidina Abu Bakar mengeluarkan semua makanan dari mulut dan perutnya seberapa yang boleh hinggakan memuntahkan semua makanan yang dimakannya, lalu beliau ditegur. Saidina Abu Bakar berkata dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Badan yang tumbuh subur dengan makanan haram pasti akan merasai api neraka." Oleh kerana itu aku memaksa makanan itu keluar, takut kalau-kalau ia menyuburkan badanku. Hari ini ramai yang menipu dalam perniagaan, memberatkan timbangan yang ringan, memaklumkan fakta salah kepada orang lain untuk mendorong mereka membeli dan sebagainya tidak boleh dinafikan lagi. Ia berlaku di mana-mana dan terjadi kepada sesiapa saja. Tanpa berhati-hati dan ketegasan terhadap sumber diperoleh, sesiapa saja boleh memakan rezeki yang haram, jika ia tumbuh subur di dalam tubuh badan pasti menyebabkan kemusnahan dan kebinasaan di akhirat kelak.
Dipetik Dari : Berita Harian Online