PELAJAR KERJA BAYAR SENIOR
Oleh Nurhayati Abllah
bhnews@bharian.com.my
2010/06/03
GOO (kiri) dan isterinya Fong menunjukkan bagaimana anaknya dipukul di leher oleh seniornya ketika diperas ugut, semalam.
Mangsa diperas ugut RM10 sehari geng berlagak ala-mafia
IPOH: Seorang pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah menengah di Bercham, dekat sini, terpaksa bekerja sebagai pencuci pinggan bagi mencari wang kerana tidak tahan dibuli dan diperas ugut kumpulan pelajar senior yang memaksanya memberikan wang RM10 setiap hari atau nilai tambah kad telefon bimbit.
Dalam kes buli terbaru, mangsa ditendang tiga kali di perut dan dipukul dua kali di leher oleh dua pelajar senior di kantin sekolah kerana gagal memberikan wang seperti diarah, kira-kira jam 1 petang, 27 Mei lalu.
Bapa mangsa, Goo Seong Vew, 45, berkata beliau terkejut melihat keadaan anaknya yang lesu dan kesakitan di bahagian perut serta leher sebelum dimaklumkan mengenai kes peras ugut itu.
“Saya membawa anak saya ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis berhubung insiden itu. Saya kesal dengan apa yang berlaku dan tidak menyangka kejadian seperti itu masih berlaku di kawasan sekolah.
“Saya sudah tiga kali menemui pengetua sekolah bagi membincangkan masalah itu, tetapi tiada sebarang tindakan diambil,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Goo berkata, dia juga ada meminta pihak sekolah menyiasat dan mengambil tindakan terhadap kumpulan pelajar itu bagi memastikan ia tidak berulang terutama kepada pelajar lain.
Katanya, selepas kejadian 27 Mei itu, anaknya takut untuk ke sekolah kerana bimbang dipukul dan dia bersama isteri, Fong Kah Leong, 32, terpaksa membuat laporan polis untuk tindakan susulan pada hari kejadian.
“Bimbang dimarahi keluarga, anak saya terpaksa mencari kerja sampingan untuk mencari duit,” katanya.
Bagaimanapun, usaha wartawan mendapatkan maklum balas pengetua sekolah berkenaan gagal kerana enggan ditemui.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias yang dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan polis mengenai kes itu dan siasatan kes sedang dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Kita sudah mengambil tindakan sepatutnya dalam kes ini,” katanya.
“Anak saya mengadu kejadian buli itu sudah lama berlaku dan dia menjadi mangsa sejak November tahun lalu. Sepanjang tempoh itu, sekurang-kurangnya lebih RM200 duit saku anak saya dirampas.
Dipetik Dari Berita Harian Online