REMAJA CUBA SERANG POLIS DITEMBAK
Oleh ASSIM HASSAN
Oleh ASSIM HASSAN
pengarang@utusan.com.my KUALA LUMPUR 5 Mei - Sekumpulan remaja yang menyamun sebuah kafe siber di Jalan Genting Klang di sini, awal pagi tadi, menerima padah apabila terserempak dengan dua anggota polis berpakaian preman di premis itu. Akibatnya seorang daripada suspek itu yang berusia 17 tahun ditembak di paha kanan dan kirinya setelah cuba menyerang polis terbabit dengan gergaji. Dalam kejadian pada pukul 3.10 pagi itu, dua anggota polis tersebut ditugaskan meronda di kawasan berkenaan dan memasuki tandas di premis tersebut. Namun sebaik sahaja keluar, kedua-dua mereka terkejut kerana premis itu bertukar kecoh apabila tujuh lelaki menjerit-jerit sambil menghunus dan melibas senjata tajam. Kesemua mereka menggunakan pelbagai jenis senjata termasuk pedang samurai, parang, pisau pemotong daging, kapak dan gergaji. Semua suspek turut mengarahkan pelanggan di dalam kafe siber itu supaya bertenang sebelum tiga daripada mereka meluru ke kaunter dan mengarahkan penjaganya menyerahkan semua wang. Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, empat lagi suspek berdiri di pintu masuk premis manakala seorang lagi di dalam kereta. "Kedua-dua anggota itu turut diarahkan oleh semua suspek supaya mendiamkan diri. Selepas beberapa minit, dua anggota itu memperkenalkan diri. "Terkejut dengan tindakan dua anggota itu, seorang suspek menghampiri mereka lalu menghunus dan melibas gergaji ke arahnya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Zakaria berkata, berikutan itu, sebagai langkah mempertahankan diri dan pelanggan lain, anggota terbabit telah menembak paha kanan dan kiri suspek. Katanya, ketujuh-tujuh rakan suspek yang panik bertindak melarikan diri dengan sebuah kereta BMW dan motosikal. Katanya, semua mereka yang berusia antara 17 dan 24 tahun itu berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM1,300. Beliau memberitahu, suspek yang cedera itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan. "Kita sedang memburu tujuh lagi rakan suspek termasuk yang berada di dalam kereta," katanya. Beliau berkata, pelanggan dan orang ramai yang berada di kawasan kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan. Dipetik dari http://www.utusan.com.my