IPTA TIDAK WAJAR TAWAR PROGRAM PENDIDIKAN SEKOLAH RENDAH
JITRA 14 Jan. — Institusi pengajian tinggi awam (IPTA), tidak sewajarnya menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sekolah Rendah), memandangkan ia telah ditawarkan oleh institusi pendidikan guru (IPG), kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi.
JITRA 14 Jan. — Institusi pengajian tinggi awam (IPTA), tidak sewajarnya menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sekolah Rendah), memandangkan ia telah ditawarkan oleh institusi pendidikan guru (IPG), kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi.
Beliau berkata, penawaran program berkenaan di IPTA menjadi salah satu punca masih ada guru lepasan ijazah yang menganggur tidak mempunyai tempat di sekolah-sekolah rendah.
"Graduan program berkenaan dari IPTA tak boleh mengajar di sekolah rendah sebab kita sudah ada lulusan dari IPG. Graduan IPTA sepatutnya mengajar di sekolah menengah, tapi bila ambil opsyen ini susah nak dapat tempat di sekolah rendah” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan warga pendidik daerah Kubang Pasu, di Sekolah Menengah Kebangsaan Megat Dewa, dekat sini hari ini.
Bagi mengatasi masalah berkenaan, katanya penyelarasan perlu ada antara Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan IPTA bagi memastikan kursus atau program yang ditawarkan benar-benar mengikut unjuran yang telah ditetapkan.
Mohd. Puad berkata, lulusan IPG tidak mempunyai masalah penempatan kerana mereka telah dilatih untuk ditempatkan di sekolah-sekolah rendah, sebaliknya masalah hanya timbul apabila membabitkan guru lepasan IPTA. - Bernama 13,000 GURU BAHASA INGGERIS DIPERLUKAN
KUDAT 12 Jan. - Kira-kira 13,000 guru Bahasa Inggeris diperlukan bagi menampung kekurangan di sekolah seluruh negara yang kini berada pada tahap mendesak. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, tenaga pengajar dalam bahasa tersebut amat diperlukan bagi memastikan pencapaian dalam subjek itu tidak terjejas. "Kementerian mendapati masalah kekurangan guru bahasa Inggeris begitu kritikal sekali malah hingga menjejaskan prestasi pelajar terutama di kawasan luar bandar," katanya. Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat beberapa sekolah di Pulau Banggi yang memakan masa kira-kira sejam perjalanan dengan bot dari sini hari ini. Katanya, antara punca utama kekurangan itu disebabkan keengganan guru yang mengajar bahasa tersebut untuk bertugas di kawasan luar bandar dan pedalaman. Sehubungan itu katanya, sebagai langkah segera mengatasi masalah tersebut, kementerian merancang mengambil 300 tenaga pengajar dari luar negara untuk melatih guru-guru tempatan mengajar subjek tersebut. Dalam pada itu, beliau mengakui menerima banyak aduan daripada lulusan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang masih belum diserapkan sebagai guru oleh Kementerian Pelajaran. Jelas Mohd. Puad, pihak kementerian memberi jaminan akan menyelesaikan masalah mereka yang berkelulusan sarjana muda pendidikan itu secepat mungkin.
Dipetik Dari Utusan Malaysia Online 140110