Maklum Balas Akhbar: “Cuepacs Syor Gaji Awam Disemak Setiap 5 Tahun”
JPA Merujuk Kepada Artikel Oleh Sariha Mohd Ali Yang Disiarkan Oleh Akhbar Berita Harian Bertarikh 29 September 2009.
Kerajaan sentiasa prihatin terhadap kebajikan pegawai Perkhidmatan Awam. Oleh itu, dakwaan penulis bahawa semakan gaji terbaru yang dilakukan pada 1 Julai 2007 dibuat selepas 25 tahun adalah tidak tepat. Dari tahun 1992 hingga 2007, Kerajaan telah memberi pelarasan gaji sebanyak enam kali iaitu pada tahun 1992, 1995, 2000, 2002 (dua kali) dan 2007. Ini bermaksud pelarasan gaji telah diberikan setiap tiga hingga lima tahun.
Setiap pemberian kenaikan gaji sektor awam dibuat dengan mengambil kira keperluan semasa dan kemampuan kewangan Kerajaan. Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) pegawai Perkhidmatan Awam secara keseluruhannya adalah antara 3% hingga 6% daripada gaji pokok. Pada tahun ini juga (2009) Kerajaan telah mengumumkan kenaikan Pangkat Secara Khas Untuk Penyandang (KUP) kepada penjawat awam Kumpulan Sokongan yang telah berkhidmat selama 15 tahun dan lebih. Ini juga memberi peluang untuk menikmati gaji di gred kenaikan pangkat yang lebih tinggi berbanding gaji di gred jawatan asal.
Konsep saraan dalam Perkhidmatan Awam adalah menyeluruh bukan sahaja meliputi upah (gaji) bagi kerja yang dilakukan tetapi merangkumi juga pelbagai pemberian elaun dan kemudahan lain yang boleh dinikmati oleh pegawai dan keluarga mereka. Ini termasuklah Imbuhan Tetap Khidmat Awam, Imbuhan Tetap Perumahan, Bantuan Sara Hidup, Kemudahan Perubatan, Kemudahan Cuti, Kemudahan Perumahan dan sebagainya. Oleh itu, pendapatan minimum pegawai Perkhidmatan Awam tidak wajar diukur dari segi gaji pokok sahaja tetapi perlu mengambil kira pemberian elaun-elaun serta kemudahan-kemudahan lain yang disediakan oleh Kerajaan.
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
2 Oktober 2009
Artikel ini dikirim pada hari Jumaat, Oktober 2nd, 2009, 2:59 pm dan difailkan di bawah Siaran Akhbar. Anda boleh mengikuti sebarang respons bagi artikel ini melalui suapan RSS 2.0.