BAYARAN KHAS RM500 BUKTI KERAJAAN PRIHATIN

KUALA LUMPUR: Cuepacs menyifatkan langkah kerajaan memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada kakitangan awam kumpulan gred 41 hingga 54 serta pesara wajib, membuktikan kerajaan sentiasa prihatin kepada penggerak sektor awam. Presidennya, Omar Osman berkata, walaupun dalam suasana ekonomi yang belum pulih sepenuhnya dan sumber pendapatan kerajaan juga merosot, tetapi kerajaan sanggup menyediakan peruntukan tambahan bagi pemberian bayaran khas itu kepada kakitangan awam dalam kumpulan berkenaan. Katanya, dengan pengumuman pemberian bayaran khas itu, kerajaan terpaksa membelanjakan peruntukan tambahan kira-kira RM400 juta yang membabitkan kira-kira 250,000 kakitangan awam gred 41 hingga 54.
Beliau berkata, sebenarnya Cuepacs dalam mesyuarat kongresnya pada 16 Oktober lalu telah memutuskan dan memohon supaya kerajaan memberi bonus dua bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada kakitangan awam tahun ini. "Walaupun harapan menikmati bonus dua bulan gaji atau minimum RM1,000 tidak kesampaian tahun ini, Cuepacs tetap berterima kasih kepada kerajaan yang sanggup memenuhi permintaan bayaran khas itu turut diberikan kepada kakitangan awam kumpulan pengurusan dan profesional (gred 41 hingga 54)," katanya. Omar bagaimanapun, berkata berikutan kerajaan tidak membuat pengumuman pemberian bonus seperti yang diminta, Cuepacs akan mengadakan mesyuarat khas tergempar untuk membincangkan isu berkenaan di Ibu Pejabat Cuepacs di sini, hari ini.
Dipetik Dari Berita Harian Online