MANSUH PPSMI JEJAS MASA DEPAN ANAK-ANAK : DR MAHATHIR

PUTRAJAYA: Pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan menjejas masa depan anak-anak, sekali gus menjadikan mereka mangsa kepada keputusan kerajaan itu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad. Bekas Perdana Menteri itu yang jelas tidak gembira dengan keputusan berkenaan menyifatkannya sebagai tindakan yang akan menyukarkan anak-anak untuk mempelajari dan mengetahui perkembangan dunia sains pada masa depan. "Saya sedih kerana masa depan anak-anak, anak-anak akan jadi mangsa dasar ini," katanya pada sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Dr Mahathir diminta mengulas mengenai pemansuhan PPSMI oleh Kementerian Pelajaran berkuatkuasa 2012 di sekolah kebangsaan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran hari ini mengumumkan bahawa berikutan keputusan itu, subjek Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu. Muhyiddin berkata, langkah itu sebahagian daripada langkah memartabatkan Bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

PPSMI diperkenalkan pada 2003 dan kumpulan pertama murid-murid yang mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sejak Tahun Satu ialah mereka yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu. Dr Mahathir berkata, usaha memartabatkan Bahasa Melayu tidak akan menyentuh PPSMI berikutan subjek sains dan matematik tidak mempunyai sebarang pertalian dengan pembelajaran bahasa. "Kata mereka ini untuk memartabatkan bahasa kebangsaan, tapi di sekolah Cina, mereka guna Bahasa Mandarin dan di sekolah Tamil mereka guna Bahasa Tamil. Lagipun kita tak boleh belajar bahasa melalui Sains dan Matematik. Bahasa mempunyai subjeknya sendiri," katanya. Dr Mahathir dalam sidang akhbar yang sama turut menafikan bahawa beliau bersetuju dan menerima hakikat pemansuhan dasar berkenaan, sekali gus bertentangan dengan kenyataan Muhyiddin sewaktu mengumumkan perkara berkenaan tengah hari tadi.

"Kerajaan sudah buat keputusan. Saya cuma diberi taklimat, saya cuba beri cadangan, minta kalau tak boleh dibuat semasa sekolah rendah, sekurang-kurangnya di sekolah menengah, tapi mereka tolak dan tak terima. Jadi itu bukan 'consultation', tapi cuma taklimat," katanya. Semasa mengumumkan perkara itu, Muhyiddin berkata Dr Mahathir umumnya menerima hakikat mengenai perlunya dasar itu diubah. Katanya, beliau dan pegawai kanan kementerian itu telah berbincang lebih tiga jam dengan Dr Mahathir bagi menerangkan mengenai kesukaran untuk meneruskan PPSMI, masalah keupayaan guru dan murid menguasai bahasa Inggeris serta jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar, dan antara sekolah kebangsaan dan bukan kebangsaan. "Dr Mahathir umumnya menerima hakikat ini," kata Muhyiddin. - Bernama
Dipetik Dari : Berita Harian Online
SAINS DAN MATEMATIK BM, BAHASA IBUNDA SUATU DASAR REALISTIK

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diumumkan hari ini mendapat reaksi positif pelbagai pihak. Cendekiawan, ahli politik, ahli akademik, pendidik malah pelajar sendiri menyifatkan langkah itu sebagai sesuatu yang realistik ke arah memperkukuh kedudukan Bahasa Inggeris dan pada masa yang sama mendaulatkan bahasa Melayu. Dr Chandra Muzaffar, Profesor Kursi Nordin Sopiee Pengajian Global Universiti Sains Malaysia berkata apa yang perlu dilakukan sekarang ialah meningkatkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris mulai dari peringkat sekolah rendah sehingga ke menara gading dalam usaha melahirkan generasi Malaysia yang fasih dalam kedua-dua bahasa itu.
Katanya kaedah pengajaran bahasa Inggeris sama ada di sekolah rendah dan menengah juga perlu dikaji semula selain menggunakan saluran media yang ada secara efektif dengan mengadakan program belajar bahasa itu melalui radio, televisyen dan internet selain mengedarkan DVD. Veteran Umno dan tokoh pejuang bahasa Tan Sri Abdul Aziz Tapa berkata keputusan kerajaan itu amat penting dalam usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan yang telah diperjuangkan sejak 1952. Penggunaan bahasa kebangsaan juga mudah untuk menyatukan rakyat dan ia selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap konsep 1 Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, bahasa Inggeris adalah bahasa kedua yang utama yang tidak boleh diabaikan dan perlu dikuasai oleh rakyat. Presiden Parti Gerakan Tan Dr Koh Tsu Koon berkata keputusan itu adalah konsisten dengan pendirian parti itu bahawa pengajaran dan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu dalam Bahasa Malaysia atau bahasa ibunda di sekolah rendah adalah lebih berkesan berbanding dalam bahasa Inggeris. Presiden MIC Datuk Seri Samy Vellu berkata, MIC bersetuju dengan keputusan kerajaan memandangkan ia juga permintaan daripada Majlis Pengetua Sekolah Tamil supaya kedua-dua mata pelajaran itu diajar dalam bahasa Tamil. "Walaupun terdapat peningkatan bagi kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris di sekolah Tamil, anggota majlis itu bersetuju supaya ia diajar dalam Bahasa Tamil," katanya.

Ketua Penerangan Umno Ahmad Maslan berkata keputusan itu membuktikan bahawa kerajaan sentiasa memastikan bahawa dasar yang dibuat memberi manfaat kepada rakyat di negara ini. "Dengan perubahan ini, maka Bahasa Malaysia akan sentiasa dimartabatkan dan pada masa yang sama Bahasa Inggeris akan terus dimantapkan. Bahasa Malaysia adalah suatu alat terpenting bagi perpaduan rakyat negara ini selaras dengan Gagasan 1Malaysia," katanya. Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr George Chan berpendapat Kementerian Pelajaran perlu mencari alternatif lain supaya pelajar dapat menguasai Bahasa Inggeris yang merupakan bahasa pertuturan global, sebagai usaha mengukuhkan pengajaran dan pembelajarannya di semua peringkat persekolahan. "Sebenarnya kita mesti fasih dalam Bahasa Inggeris terutamanya apabila kita mahu memasuki dunia global tetapi saya berpendapat pengajaran dan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu dalam Bahasa Inggeris bukan satu-satunya cara untuk menguasai bahasa itu," katanya. Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena) Tan Sri Profesor Emeritus Ismail Hussein berkata, keputusan itu adalah tindakan yang bijaksana tetapi kerajaan juga perlu memberi penekanan kepada Bahasa dan Kesusasteraan Melayu. "Kami suka menekankan supaya perhatian yang lebih diberikan kepada bahasa Kebangsaan, kesusasteraan dan budaya Melayu dalam konteks yang lebih luas di peringkat global," katanya. Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata berdasarkan keputusan yang dibuat pada Persidangan Perwakilan NUTP Ogos tahun lalu, pengajaran Sains dan Matematik bagi pelajar sekolah menengah perlu dikekalkan. "Berdasarkan kepada keputusan Persidangan Perwakilan NUTP pada Ogos 2008, memang kita membuat keputusan untuk mengajar sains dan matematik bagi sekolah rendah dalam bahasa ibunda dan bagi sekolah menengah untuk terus menggunakan Bahasa Inggeris. "Sebagai guru dan kesatuan guru kami sudah berjaya dalam 50 peratus daripada perjuangan kami. Namun demikian, selepas kerajaan membuat keputusan, NUTP berpendapat sebagai penjawat awam kita terpaksa ikut polisi itu," katanya. Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia''s (PKPIM), Mohd Hilmi Ramli berkata: "PKPIM menyambut baik keputusan itu dan menyifatkan ia sebagai satu interpretasi komitmen kerajaan untuk mempertahankan dan mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan," katanya. - Bernama
Dipetik Dari : Berita Harian Online